Weblog Cikgu Jumali

Khusus Untuk Pelajar yang Mengambil Mata Pelajaran Sejarah STPM (940)…

Negara Bangsa Mesir


Huraikan Pembentukan Negara Bangsa Turki Pada Abad ke-20

Pendahuluan :

  • Zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid II (1876 – 1909) merupakan kemuncak kepada tanzimat atau pembaharuan dan baginda merupakan Khalifah Uthmaniyah terakhir yang mempunyai kuasa autonomi ke atas kerajaannya sendiri.
  • Empayar Uthmaniyah sudah mengalami kemunduran sejak akhir abad ke-19 lagi namun Sultan Abdul Hamid II berjaya mempertahankan kerajaan empayar Turki Uthmaniyah serta mampu menepis serangan daripada imperialis Barat. Baginda telah melakukan beberapa pembaharuan dalam tempoh 33 tahun pemerintahannya.

Isi-isi Penting :

  • Pembentukan negara bangsa Turki bermula sejak empayar Turki Uthmaniyah diperintah oleh Sultan Abdul Hamid II apabila baginda memperkenalkan sistem pemerintahan berperlembagaan menggantikan sistem pemerintahan khalifah. Selain daripada menukar sistem pemerintahan Turki Uthmaniyah, baginda juga tidak lagi mengamalkan sistem syura yang menjadi amalan dalam sistem pentadbiran Islam.
  • Pada 23 Disember 1876, Sultan Abdul Hamid II meluluskan draf perlembagaan yang dirangka oleh Midhat Pasha dan beberapa pembantunya berdasarkan Perlembagaan Belgium dan Prussia. Walau bagaimanapun, Sultan Abdul Hamid II menambah satu fasal dalam perlembagaan tersebut yang membenarkan Sultan membuang sesiapa sahaja yang dianggap mengancam keselamatan negara. Melalui perlembagaan ini, Sultan ddiisytiharkan sebagai khalifah bagi seluruh dunia Islam. Perlembagaan ini juga menekankan persamaan hak untuk semua rakyat tanpa mengira agama.
  • Selain itu, tumpuan pembaharuan baginda ialah dalam bidang pendidikan. Beliau sangat mementingkan ilmu pengetahuan dan memuliakan golongan cerdik pandai. Perbelanjaan negara telah diperuntukkan untuk menyelenggara sekolah dan institusi pendidikan tempatan. Baginda menubuhkan sekolah dan pusat penyelidikan yang berkaitan dengan ilmu perubatan, penternakan ulat sutera, perikanan dan perhutanan. Pada ketika itu, pembinaan sekolah diperhebatkan oleh kerajaan Turki Uthmaniyah di wilayah naungannya. Penduduk tempatan mendapat faedah daripada pembinaan sekolah tersebut khususnya sekolah atau kolej ketenteraan. Pendekatan pembinaan sekolah di wilayah naungan berlaku dalam rentak dan pendekatan yang berbeza. Wilayah Yaman dan Hijaz tidak didirikan sekolah tentera sebaliknya menceduk ilmu pengetahuan dari sumber Islam yang tulen. Pada zaman itu, di Syria terdapat aktiviti penyebaran agama Kristian Katolik dan Protestan yang hebat dalam bidang kebudayaan dan ilmu pengetahuan. Oleh itu, pendekatan di Syria secara umumnya dan Lubnan khususnya adalah cenderung kepada kebudayaan Eropah.
  • Sultan Abdul Hamid II menggunakan seluruh tenaganya untuk merealisasikan matlamat penubuhan Pan-Islamisme. Baginda cuba menghidupkan kembali sistem dan gelaran khalifah dalam kalangan umat Islam seluruh dunia dan mengharapkan penjajah terutamanya Britain merasa gerun kerana menjajah berjuta-juta umat Islam. Namun, dasar Pan-Islamisme yang dibawa oleh Sultan Abdul Hamid II tidak bertahan lama kerana benih-benih nasionalisme Barat yang telah ditanam sekian lama dalam pemikiran golongan terpelajar Islam di Turki sehingga berjaya membuahkan bibit-bibit perpecahan dan keruntuhan empayar Turki Uthmaniyah.
  • Turki Muda (Young Turks) merupakan golongan radikal yang menentang Sultan Abdul Hamid II. Golongan ini merupakan pelajar-pelajar muda yang dihantar oleh kerajaan Turki Uthmaniyah untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara terutama dalam bidang perubatan. Pada tahun 1908, Rejim Turki Muda atau Committee of Union and Progress (CUP) bersama Tentera Division Ketiga di Salonika telah mengisytiharkan pemberontakan terhadap pemerintahan Sultan Abdul Hamid II dengan slogan “Equality, Fraternity, Liberty and Justice”. Slogan ini merupakan semangat daripada Revolusi Perancis 1789.
  • Semenjak peristiwa itu, kuasa pemerintahan Turki Uthmaniyah bertukar tangan daripada khalifah jatuh kepada Rejim Turki Muda. Sultan Abdul Hamid II disingkir dan sultan lain dilantik untuk menjadi boneka penyatuan umat Islam di bawah empayar Turki Uthmaniyah. Empayar Turki Uthmaniyah berakhir apabila Rejim Turki Muda melibatkan diri dalam Perang Dunia Pertama bersama sekutunya, Jerman dan kalah dalam perang tersebut kepada Tentera Bersekutu yang dianggotai oleh Britain, Perancis, Itali dan Rusia. Banyak daerah di bawah naungan Turki Uthmaniyah dibahagikan antara kuasa-kuasa Bersekutu yang menang dalam Perang Dunia Pertama sehingga menghimpit penduduk Turki dan memaksa mereka untuk berjuang mendapat kemerdekaan tanah air sendiri.
  • Selepas Perang Dunia Pertama, kebanyakan pemimpin Turki Muda meninggalkan empayar Turki Uthmaniyah terumbang-ambing menimbang nasib untuk berkubur sehinggalah muncul tokoh yang dikatakan penyelamat oleh rakyat Turki, iaitu Mustafa Kamal Ataturk yang cuba memperjuangkan kedaulatan Turki dan menggunakan propaganda menyelamatkan umat Islam bagi meraih sokongan rakyat. Apabila Tentera Bersekutu menguasai Istanbul, Mustafa Kamal Ataturk mengisytiharkan perang terhadap mereka dan mendapat sokongan padu daripada ulama, syeikh tariqat dan seluruh rakyat Turki. Berbekalkan semangat jihad, rakyat Turki bersama-sama di bawah pemerintahan Mustafa Kamal Ataturk berjaya mengisytiharkan kerajaan kebangsaan merdeka di kawasan Ankara.

Kesimpulan :

  • Sultan Abdul Hamid II telah cuba sedaya upaya membina negara dan bangsa Turki namun beliau gagal dengan asakan Barat yang bersatu untuk menamatkan riwayat empayar Turki Uthmaniyah.
  • Golongan Turki Muda pula sukar membina negara bangsa Turki kerana mereka telah termasuk dalam perangkap kuasa-kuasa Barat.

Leave a comment

Pages

Hits Sejak Sept. 2008

  • 6,954,627 pengunjung

Kalendar 2016

May 2024
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031