Weblog Cikgu Jumali

Khusus Untuk Pelajar yang Mengambil Mata Pelajaran Sejarah STPM (940)…

Faktor Pembentukan Nenara Bangsa Turki


Huraikan Faktor-faktor Pembentukan Negara Bangsa Turki Pada Abad ke-20

Pendahuluan :

  • Zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid II (1876 – 1909) merupakan kemuncak kepada tanzimat atau pembaharuan dan baginda merupakan Khalifah Uthmaniyah terakhir yang mempunyai kuasa autonomi ke atas kerajaannya sendiri.
  • Empayar Uthmaniyah sudah mengalami kemunduran sejak akhir abad ke-19 lagi namun Sultan Abdul Hamid II berjaya mempertahankan kerajaan empayar Turki Uthmaniyah serta mampu menepis serangan daripada imperialis Barat. Baginda telah melakukan beberapa pembaharuan dalam tempoh 33 tahun pemerintahannya.
  • Pada awal abad ke-20, Sultan Abdul Hamid II telah mempunyai kuasa, sungguhpun kuasa tersebut semakin merosot dan hilang selepas pelucutan baginda sebagai Sultan Uthmaniyah pada tahun 1909. Dalam tempoh 1900 hingga 1909, baginda cuba sedaya upaya mempertahankan wilayah dan keselamatan rakyat di bawah empayar Turki Uthmaniyah. Tempoh tersebut juga merupakan tempoh kuasa-kuasa barat cuba mengenakan tekanan ke atas kerajaan baginda.
  • Britain, Perancis dan Rusia khususnya bersaing sengit untuk mendapatkan kekayaan yang terdapat dalam wilayah-wilayah Turki Uthmaniyah. Kuasa-kuasa barat telah bersatu untuk menghancurkan empayar Turki Uthmaniyah.
  • Sementara itu, keadaan menjadi semakin buruk apabila penduduk bukan Islam dalam wilayah Turki Uthmaniyah dihasut oleh pihak barat untuk menghancurkan empayar Turki Uthmaniyah dari dalam. Asakan yang direncanakan oleh pihak barat ini menyebabkan melakukan beberapa rancangan untuk membina negara bangsa Turki.

Isi-isi Penting :

Faktor Dasar Pan-Islamisme

  • Pembentukan negara bangsa Turki pada awal abad ke-20 dikaitkan dengan dasar Pan-Islamisme yang merupakan satu dasar terpenting pada masa pemerintahan Sultan Abdul Hamid II. Sebagai satu dasar, fahaman ini menekankan perpaduan dan kerjasama umat Islam sejagat di bawah pimpinan seorang khalifah yang berperanan membela hak umat Islam, bukan sahaja di Turki malah di seluruh dunia.
  • Melalui dasar Pan-Islamisme ini, orang-orang Islam di Turki dan berada dalam empayar Turki hendaklah disatukan di bawah pimpinan Sultan Turki Uthmaniyah. Manakala umat Islam yang berada di bawah penguasaan orang barat hendaklah menyokong khalifah kerajaan Turki Uthmaniyah bagi memperjuangkan kemerdekaan negara masing-masing daripada belenggu penjajahan barat.
  • Baginda berusaha menghidupkan dan membangunkan keagungan sistem khalifah Islamiyah dan usaha ini menggerunkan penjajah terutamanya Britain. Menurut baginda, walaupun empayar Turki Uthmaniyah lemah dari sudut politik, namun negara-negara Barat masih takut kepada kekuatan Islam.
  • Untuk mencapai dasar Pan-Islamisme ini, Sultan Abdul Hamid II telah menggerakkan seluruh lapisan masyarakat yang terdiri daripada kalangan ulama, pemikir dan pembesar daripada pelbagai kaum, negeri dan aliran pemikiran serta pelbagai bidang kepakaran. Di antara tokoh yang menyertai Projek Pan-Islamisme” ini termasuklah Jamaludin al-Afghani, Abd. Al-Qadir al-Maghribi dan Rashid Rida.

Faktor Pendidikan

  • Oleh kerana kedudukan Turki berhampiran dengan negara-negara Barat yang maju, maka bidang pendidikan diberi keutamaan untuk memajukan empayar Turki Uthmaniyah supaya setanding dengan negara-negara barat. Sultan Abdul Hamid II dianggap sebagai pengasas kepada pendidikan peringkat rendah dan menengah yang memberi perhatian kepada kemajuan modenseperti yang terdapat di dunia Barat tetapi tidak mengenepikan pengetahuan agama dan akhlak Islam.
  • Banyak sekolah menengah, sekolah rendah dan institusi pendidikan tinggi di Turki didirikan. Sekolah rendah didirikan di setiap kampung. Bilangan sekolah di seluruh bandar dan kampung dalam wilayah Uthmaniyah mencapai angka 36 320 buah manakala bilangan pelajar berjumlah 331 140 orang. Jumlah institusi pengajian tinggi di Turki pada awal abad ke-20 pula bertambah kepada 18 buah.

Faktor hubungan dengan golongan minoriti

  • Untuk membina negara dan bangsa Turki, Sultan Abdul Hamid II juga sedar bahawa golongan minoriti yang tinggal di bawah penguasaan kerajaan Turki Uthmaniyah perlu dilindungi dan diberi hak mereka selaras dengan tuntutan Islam terhadap Ahl al-Dhimmah.
  • Hubungan yang baik serta mesra cuba diatur dengan golongan minoriti ini supaya masalah keselamatan dalam negeri dapat dihindarkan. Antara golongan minoriti yang tinggal dalam empayar Turki Uthmaniyah ialah orang Armenia, Maronite dan Rom dan kebanyakan mereka beragama Kristian dan Yahudi.
  • Pemerintah Turki Uthmaniyah telah mengeluarkan pelbagai peraturan meliputi pelbagai keistimewaan untuk golongan minoriti. Sultan Abdul Hamid II sendiri menggunakan khidmat golongan minoriti yang menjawat jawatan tinggi dalam jabatan-jabatan kerajaan seperti di kedutaan dan pentadbiran wilayah.
  • Bagaimanapun kesetiaan golongan minoriti terhadap empayar Turki Uthmaniyah teruji apabila orang-orang barat menghasut mereka menentang kerajaan Turki. Mereka telah bekerjasama dengan negara-negara Eropah untuk menghancurkan kerajaan Turki Uthmaniyah. Justeru, berlakulah pemberontakan seperti yang dilakukan oleh puak Armenia. Puak Yahudi dan Yahudi Dunama pula campur tangan bagi menyemarakkan lagi semangat puak nasionalis Turki dan Arab yang membawa kepada kemerosotan sistem khalifah Islamiah.

Faktor komunikasi dan pengangkutan

  • Bagi menghadapi era pemodenan khususnya perkembangan teknologi, Sultan Turki Uthmaniyah memberi perhatian yang serius dalam bidang komunikasi dan pengangkutan. Kemudahan sistem telegraf disediakan di seluruh negara sedangkan ketika itu sebahagian daripada negara eropah masih belum menyediakan kemudahan tersebut. Baginda telah mengarahkan supaya dibina talian telegraf sepanjang 30 000 km di seluruh pelusuk negara.
  • Stesen-stesen telegraf telah dibina di seluruh bandar di Turki dan wilayah penguasaan serta bandar-bandar lain seperti Makkah, Madinah, Damsyik, Tripoli Barat dan India. Untuk melaksanakan projek ini, baginda telah menubuhkan Kementerian Telegraf yang bertanggungjawab menjayakannya.
  • Sesungguhnya sistem telegraf dapat menyampaikan maklumat dalam bidang pentadbiran, ekonomi dan politik denga lebih cepat dan membawa faedah kepada perkembangan ekonomi dan politik di seluruh empayar Turki Uthmaniyah.
  • Dalam bidang pengangkutan, Sultan Abdul Hamid II telah melancarkan projek landasan kereta api Hijaz yang dimulakan pada tahun 1901 dan berjaya disiapkan pada tahun 1908. Projek ini telah menghubungkan bandar Constantinople degan kota Madinah iaitu sepanjang 1327 batu. Pembinaan ini telah menelan belanja sebanyak 3 juta pound sterling.
  • Projek landasan kereta api Hijaz merupakan satu projek Islam yang tulen kerana tenaga kerjanya terdiri daripada orang-orang Islam manakala kos pembinaannya pula adalah hasil sumbangan pemimpin dan masyarakat Islam.
  • Kakitangan awam dan tentera pula dipotong 10% daripada gaji mereka untuk menjayakan projek ini.  Kerajaan juga menyediakan kenaikan pangkat serta menganugerahkan bintang-bintang kebesaran kepada sesiapa yang menyumbang tenaga dan harta terhadap projek ini.
  • Pembinaan landasan kereta api Hijaz merupakan langkah yang wajar kerana pembinaannya membawa faedah dalam bidang ekonomi, perdagangan, dakwah politik dan strategi keselamatan. Apa yang lebih penting, projek ini akan merealisasikan dasar Pan-Islamisme yang diperkenalkan oleh baginda.

Faktor Dasar Turkifikasi

  • Sultan abdul hamid II mewarisi sebuah negara yang sedang berada di peringkat muflis. Jumlah hutang kerajaan turki uthamaniyah pada awal pemerintahan baginda mencecah angka 300 juta lira. Baginda memutuskan untuk membayar keseluruhan hutang sebagai langkah untuk membebaskan kerajaan Turki Uthmaniyah daripada tekanan politik Barat. Dengan melunaskan hutang itu juga bermakna baginda tidak memberi peluang kepada pihak musuh untuk melakukan pencerobohan ke atas wilayahnya. Demi bangsa dan negaranya, baginda sanggup berbuat demikian.
  • Semasa rejim Turki Muda menguasai politik Turki sekitar tahun 1910 hingga 1915, mereka menekankan kepada dasar Turkifikasi bagi seluruh empayar Turki Uthmaniyah sebagai reaksi kepada penentangan dan pemberontakan yang datangnya dari negara Balkan. Kajian oleh Eeman Mohamed Abbas mendapati pemerintahan al-Ittihad wa al-Taraqqi bermula secara rasmi pada tahun 1909 iaitu selepas penyingkiran Sultan Abdul Hamid II, bukanlah pada tahun 1924 iaitu selepas Mustafa Kamal Ataturk memansuhkan sistem Khalifah Uthmaniyah.
  • Dalam tempoh selepas itu, semua keputusan utama dalam pentadbiran kerajaan kerajaan Turki dibuat oleh golongan al-Ittihad wa al-Taraqqi seperti keputusan untuk melibatkan diri dalam Perang Dunia Pertama dan menyokong Jerman dalm perang tersebut. Golongan al-Ittihad wa al-Taraqqi yang menganjurkan nasionalisme Turki sebenarnya dipelopori oleh bangsa Rusiadan Yahudi Dunama yang kebanyakannya lepasan sekolah Kristian atau Eropah. Merekalah yang mengasaskan gerakan ini yang kemudiannya bertanggungjawab meniupkan semangat nasionalisme Turki atas nama merealisasikan impian bangsa Turaniah.
  • Gerakan ini menyeru ke arah fahaman baru yang berpaksikan kepada slogan “kebangsaan, perlembagaan, persamaan dan kebebasan.” Golongan ini telah menyebarkan fahaman mereka dalam golongan Turki Muda. Rejim Turki Muda yang diketuai pemimpin tiga serangkai (Tal’at Pasha, Enver Pasha dan Kolonel Jamal Pasha) kemudiannya telah memaksa seluruh rakyat di bawah empayar Turki Uthmaniyah sama ada Arab, Armenia, Greek dan yang lain-lain untuk menjadi Turki.

Kesimpulan :

  • Sultan Abdul Hamid II telah cuba sedaya upaya membina negara dan bangsa Turki namun beliau gagal dengan asakan Barat yang bersatu untuk menamatkan riwayat empayar Turki Uthmaniyah.
  • Golongan Turki Muda pula sukar membina negara bangsa Turki kerana mereka telah termasuk dalam perangkap kuasa-kuasa Barat.

Leave a comment

Pages

Hits Sejak Sept. 2008

  • 6,954,610 pengunjung

Kalendar 2016

May 2024
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031