Weblog Cikgu Jumali

Khusus Untuk Pelajar yang Mengambil Mata Pelajaran Sejarah STPM (940)…

Inflasi…Musuh Dalam Senyap


Mengetahui sebab-sebab dan kesan-kesan inflasi dan belajar bagaimana mengatasinya.

Kira-kira 30 tahun yang lalu, sepinggan nasi lemak berharga kurang daripada RM1. Hari ini, ia telah naik sehingga RM5, jadi jangan terkejut untuk membayar lebih dari RM10 untuk sarapan pagi anda dalam dekad yang akan datang!

Ini hanyalah akibat inflasi! Seperti kuasa kadar pulangan berganda, inflasi berganda boleh memberi kesan buruk pada taraf hidup anda sekiranya ia tidak diawasi. Namun begitu, apakah sebab-sebab fenomena ini dan bagaimanakah kita boleh mengatasinya ?

Apakah Inflasi ?

Inflasi ditakrifkan sebagai peningkatan beransur-ansur dalam paras harga umum untuk produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan, dan ia diukur sebagai peningkatan dalam peratusan tahunan. Sekiranya inflasi menaik, setiap ringgit yang anda miliki akan membeli peratus yang lebih kecil bagi sesuatu produk atau perkhidmatan. Dengan kata lain, terdapat kemerosotan dalam kuasa membeli anda. Sebagai contoh, dari segi teori secawan teh tarik berharga RM1 akan berharga RM1.05 selepas setahun jika kadar inflasi bagi tempoh itu ialah 5 peratus.

Apakah Indeks Harga Pengguna (IHP) ?

Indeks Harga Pengguna (IHP) mengukur perubahan peratusan dalam kos bagi sekumpulan pengguna khusus (60% bandar, 40% luar bandar) untuk membeli satu “bakul” yang mengandungi barangan dan perkhidmatan yang tetap dalam tempoh masa tertentu. Barang-barang yang terdapat di dalam “bakul” tersebut boleh dikumpulkan kepada berikut:

  • Makanan dan minuman tidak beralkohol
  • Minuman beralkohol dan tembakau
  • Pakaian dan kasut
  • Perumahan, bekalan air, bekalan elektrik, gas dan bahan api lain
  • Perabot, peralatan isirumah, rutin penyenggaraan isirumah
  • Kesihatan
  • Pengangkutan
  • Komunikasi
  • Perkhidmatan-perkhidmatan rekreasi dan budaya
  • Pendidikan
  • Restoran-restoran dan hotel-hotel
  • Pelbagai barangan dan perkhidmatan lain

Bagaimanapun, anda harus mengetahui bahawa IHP adalah purata statistik dan mungkin tidak menggambarkan kadar inflasi anda, terutamanya apabila corak perbelanjaan anda banyak berbeza daripada pengguna-pengguna bandar biasa. pada kebanyakan masa, kadar inflasi pada peringkat peribadi atau pengguna untuk penduduk-penduduk bandar adalah dua kali atau lebih tinggi daripada kadar inflasi peringkat kebangsaan.

Apakah Sebab-sebab Berlakunya Inflasi ?

Dua sebab umum berlakunya inflasi adalah:

Permintaan tinggi, bekalan rendah

  • Jikalau permintaan meningkat lebih cepat daripada bekalan produk dan perkhidmatan, harga barangan terpaksa naik. Juga dikenali sebagai inflasi tarikan-permintaan, ia biasanya berlaku di ekonomi bertumbuh di mana terdapat “terlalu banyak wang mengejar terlalu sikit barangan”.

Peningkatan dalam kos pengeluaran

  • Apabila harga bahan mentah naik, kos pengeluaran akan meningkat. Ini akan mengakibatkan syarikat-syarikat menaikkan harga untuk mengekalkan margin keuntungan. Ini juga berlaku apabila pekerja-pekerja meminta gaji yang lebih tinggi kerana syarikat-syarikat biasanya memindah kos-kos ini kepada pengguna-pengguna.

Apakah Kesan-kesan Inflasi ?

  • Inflasi boleh dianggap sebagai perkembangan ekonomi yang biasa selagi peratusan tahunan masih rendah. Namun begitu, inflasi boleh menyebabkan krisis apabila peratusan itu meningkat lebih tinggi daripada peringkat yang telah ditetapkan. Cara yang paling nyata ia menjejaskan kewangan peribadi anda adalah dengan mengurangkan kuasa membeli anda. Anda akan mendapati harga produk dan perkhidmatan setiap hari meningkat dan kos pinjaman menjadi lebih tinggi kerana kadar faedah turut menaik.

Contoh:

  • Pada tahun 1978 (30 tahun dahulu), RM300 boleh membeli barangan runcit satu bulan untuk keluarga berempat orang.
  • Pada tahun 2008, RM300 boleh membeli barangan runcit satu minggu untuk keluarga berempat orang.
  • Pada tahun 2028 (20 tahun kemudian), RM300 mungkin hanya boleh membeli barangan runcit dua hari untuk keluarga berempat orang.

Dengan memahami perbezaan di antara pulangan nominal dan pulangan benar, anda akan dapat melihat kesan inflasi pada wang anda. Pulangan nominal merujuk kepada kadar pertumbuhan wang anda manakala pulangan nominal menolak kadar inflasi. Oleh demikian, wang yang disimpan di dalam simpanan tetap akan mengurang nilainya disebabkan kesan penghakisan inflasi.

Contoh:

  • Kadar inflasi tetap 12 bulan = 4%
  • Kadar inflasi (peringkat peribadi) = 6%
  • Pulangan benar daripada pelaburan = 4% – 6% = -2%

Bagaimanakah Kita Boleh Mengatasi Inflasi ?

  • Setelah mengetahui bagaimana inflasi boleh mengurangkan kuasa membeli anda dengan drastik, pelabur-pelabur harus mempertimbangkan cara-cara melindungi pelaburan mereka daripada kesan-kesan penghakisan inflasi. Berikut adalah beberapa cara bagaimana anda boleh mengurangkan kesan-kesan inflasi:

Mendapat pulangan yang lebih tinggi daripada pelaburan-pelaburan anda.

  • Untuk melindungi simpanan anda daripada kesan inflasi bagi jangka masa panjang, pilihan terbaik adalah dengan mendapat pulangan pelaburan yang lebih tinggi daripada kadar inflasi. Ekuiti-ekuiti dan dana-dana ekuiti serta saham-saham yang memberi dividen tinggi harus dipertimbangkan kerana mereka boleh mengurangkan kesan-kesan inflasi.

Mengekalkan kepelbagaian dalam pelaburan-pelaburan anda.

  • Sebuah portfolio seimbang yang mengandungi saham-saham, bon-bon dan sekuriti-sekuriti pasaran wang dapat mengurangkan risiko dan memberi perlindungan terhadap inflasi. Ini disebabkan nilai sejenis pelaburan mungkin akan menaik sementara pelaburan-pelaburan lain menurun. Namun begitu, kepelbagaian tidak dapat melindungi anda daripada kerugian dalam pasaran menurun.

Mengurangkan pemegangan wang tunai yang banyak.

  • Walaupun anda mendapat kecairan dengan memegang wang di tangan atau menyimpankannya di dalam simpanan tetap, wang tersebut mungkin akan mengurang nilainya melalui inflasi. Sebaliknya, pelabur-pelabur berisiko rendah boleh membuat pertimbangan untuk memindahkan wang mereka ke sebuah portfolio seimbang (terdiri daripada 60 peratus ekuiti dan 40 peratus bon) untuk mendapatkan pulangan diselaraskan inflasi yang baik bagi tempoh sederhana hingga panjang.

Melabur di dalam sektor-sektor yang berdaya tahan.

  • Semasa keadaan pasaran yang tidak menentu, pelabur-pelabur boleh melabur dalam sektor-sektor berdaya tahan dan saham-saham mewah sebagai perlindungan terhadap inflasi. Sektor-sektor ini termasuk telekomunikasi, utiliti dan pengangkutan. Emas juga diibaratkan sebagai tempat perlindungan selamat dalam ketidakstabilan kewangan atau semasa inflasi menaik.

Menguruskan hutang anda.

  • Mengurangkan hutang anda ke tahap minima amat bermakna kerana kadar faedah menaik seiring dengan inflasi. Anda sepatutnya membayar habis pinjaman yang mempunyai kadar faedah yang paling tinggi dengan secepat mungkin, terutamanya apabila kadar faedah sedang meningkat.

 

sumber: GWealthPlaner.com

 

Filed under: Mesti Baca

Kisah Benar Sebuah Keluarga Miskin…


Dukacita Sebuah Keluarga Miskin : Bahasa Duka yang Menitiskan Air Mata!

Ini hanyalah petikan sebuah kisah dari jutaan cerita duka dalam negara yang mewah hasil kekayaan sumber bumi anugerah Allah SWT.

“Bang… sardin tin besar ni minggu dulu harganya RM5.70, tapi sekarang dah RM6.20!” dia meletakkan semula tin sardin jenama popular di rak sebuah pasaraya di Shah Alam tadi petang.

Kemudian anak kecilnya barangkali enam atau lima tahun saya terdengar merengek beberapa kali. “Abah…nak aiskrim!” Si ibu yang sejak awal mengekori si suami memerhatikan harga pada setiap kali barangan dipegang, akhirnya separuh bersuara: “Adik…ibu tengok tadi aiskrim tu dah naik 30 sen. Nanti ibu buatkan aiskrim sirap kat rumah ya…” lembut suara si ibu separuh memujuk. Si ayah tersenyum tawar memandang saya. “Belikanlah…” beritahu si ayah mengarah isterinya, barangkali tidak sampai hati melihat wajah anak kecil yang sayu itu.

Sebelum ke baris sebelah untuk membelikan ais krim untuk anaknya, si ibu berbisik. Saya tidak mendengar langsung apa yang dicakapkannya kepada suaminya itu. Hanya selepas isterinya pergi, si suami tanpa berselindung memberitahu saya. “Orang rumah saya tanya tadi, cukupkah duit yang saya bawa!” dan dia tergelak dua tiga kali tetapi kekehnya tawar dan hambar.

“Tak jadi nak belilah sardin ni!” katanya seolah-olah sedikit kecewa. “Nak tengok tempat lain nanti,” jawapnya. Saya bertanya kenapa dia membeli sardin. “Bukan apa bang. Orang susah macam saya ni kena simpan stok lauk. Nak beli ikan mahal..simpan lama pun tak boleh. Tapi kalau sardin ni, beli lima tin boleh tahan sebulan. Kalau dipanaskan tiga hari boleh makan lagi,” jawapnya selamba.

Saya terus tertunduk sebelum saya angkat muka memandangnya. “Sekarang kerja kat kilang lama ke?” saya tanya. Dia mengangguk. “Dah berumur ni tak berani nak pindah kilang. Cuma gajinyalah. Dah 20 tahun kerja baru seribu lebih sikit ajer.”

Saya tunduk semula memandang lantai simen pasaraya. “Anak yang dua orang tu belajar lagi ke?” saya tanya lagi. Dia mengangguk laju-laju. “Seorang kat Unisel, seorang lagi kat Politeknik. Itu yang saya kena berjimat tu bang,” jawap lelaki yang saya kenal sejak berbelas tahun lalu.

Kami tidak lama bersama. Sebelum pulang, saya sempat pelawanya untuk minum malam sebab lama kami tidak berjumpa. Nak tahu apa jawapnya? “Maaflah bang… sebenarnya saya sibuk sangat. Bukan tak sudi. Lepas Maghrib nanti ada kerja! Saya buat part time jaga kat depoh bas, nak cari tambah-tambah duit,” katanya.

Sambil bersalam dia menyambung cakapnya. “Dapat empat ratus lagi bang sebab kerja part time ajer..Tapi badan ni dah rasa tak larat sangat. Tengok kaki ni..” dia menyelak pangkal seluarnya. “Ni bengkak dah bertahun ni. Entahlah…doktor cakap gout…” dia mengerutkan keningnya.

Memang saya tidak boleh berlama. Bukan saya tidak punya waktu untuk bersama dengan kenalan lama saya itu. Tapi dalam hati saya pedih, luka dan sebal. Kasihan fikir saya. Kasihan sangat drama kehidupan ini. Bolehkah kami berdepan realiti kehidupan sebuah negara maju.

 

Filed under: Mesti Baca

Apakah Globalisasi ?


Apakah Globalisasi ?

Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia dibawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet,media elektronik,dan teknologi siber. Perkembangan ini memungkinkan perhubungan diantara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.

Menurut Kamus Dewan globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manakala cediakawan barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia didunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan.

Dalam era globalisasi ini, dunia semakin dikecilkan ruangnya daripada yang asal. Jika dulu dunia ini seluas saujana mata memandang dan dipagari dengan sempadan-sempadan namun kini ia tidak berlaku lagi. Malah pada hari ini kita telah dapat merasakan apakah dia itu globalisasi. Ledakan teknologi maklumat yang pesat merupakan medium utama kepada agenda globalisasi ini.

Dunia bukan sahaja tidak bersempadan geografi tetapi pengaruh globalissasi menjangkau sempadan ekonomi,teknologi ,bahasa, budaya, ideologi, politik dan dari segenap aspek kehidupan sesebuah masyarakat.

Kerajaan Malaysia memberi keutamaan kepada globalisasi ekonomi. Disamping itu, ia memberi perhatian besar kepada globalisasi maklumat dan ilmu dan globalisasi saintifik serta teknologi Kesungguhan Kerajaan dalam menangani tiga jenis globalisasi ini jelas kelihatan pada berbagai-bagai bentuk wacana di peringkat nasional dan peringkat antarabangsa seperti dialog, seminar, persidangan dan forum dan juga pada penubuhan berbagai-bagai jenis institusi dan projek. Koridor Raya Multimedia (MSC) adalah simbol harapan serta kemegahan Malaysia dalam menyahut panggilan globalisasi.

Globalisasi juga merujuk kepada perpindahan nilai, terutamanya cara berfikir & gaya bertindak dari satu daerah dunia kepada daerah dunia yang lain. Globalisasi yang diberi erti luas ini adalah suatu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan. Hakikatnya globalisasi itu sudah wujud sebelum istilah globalisasi diperkenalkan lagi. Fenomena globalisasi boleh dikiaskan sebagai gelombang yang melanda dunia.

Lodge (1993) mendefinisikan globalisasi sebagai :

“… a process forced by global flows of people, information, trade and capital. It is accelerated by technology, which is driven by only a few hundred multinational corporations and may be harmful to the environment. There in lies the conundrum of whether it is wise to leave globalization in the hands of these few corporations, or might it not make more sense to seek greater involvement from the global community.

Apakah impikasi serta kesan globalisasi terhadap :

Ekonomi :

  • Dalam globalisasi ekonomi, telah berlaku peningkatan dalam kebergantungan perniagaan terhadap ekonomi. Firma-firma dan perniagaan terus meningkat dan berlakunya peningkatan dalam pelaburan asing secara langsung di dalam aktiviti ekonomi sesebuah negara. Globalisasi ekonomi dapat di lihat melalui perluasan perusahaan melampaui sempadan negara .

 

Perspektif ini dapat dilihat melalui tiga tahap :

  • Pertama ialah perusahaan antarabangsa yang mempunyai aktiviti diluar sempadan nasional dan meliputi eksport,import dan penghasilan bukan mentah.
  • Kedua ialah perusahaan multi nasional, iaitu perusahaan yang menjalankan aktivitinya di berbagai negara.
  • Ketiga ialah perusahaan global yang melihat ekonomi dunia sabagai satu. Perusahaan tersebut mendapatkan bahan mentah dan menjual barangan secara global.

 

Di samping perdagangan bebas, globalisasi ekonomi juga boleh dikaitkan dengan perkembangan syarikat-syarikat korporat di dunia. Syarikat-syarikat korporat juga menuju ke arah globalisasi. Telekom Malaysia Berhad juga mempunyai matlamat ke era globalisasi iaitu menjadi Syarikat bertaraf dunia “world class telecommunications”

 

Teknologi :

  • Kehidupan manusia di masa akan datang banyak bergantung kepada teknologi. Teknologi akan menjadi begitu canggih hinggakan komputer yang ada pada hari ini yang mempunyai sistem yang berubah dengan cepat dan laju. Era globalisasi yang sedang berlaku hari ini pasti akan memberikan peningkatan dan perubahan yang lebih ketara dalam bidang teknologi.
  • Antara bidang teknologi yang cepat maju dan canggih adalah bidang teknologi maklumat dan komputer. Bill gates (1996), peneroka bidang komputer yang terkenal, dapat memasarkan aplikasi keluaran Window ke serata dunia . Perkembangan teknologi yang begitu pesat pada masa ini di seluruh dunia memerlukan tindakan segera pembangunan sumber manusia untuk memberi latihan, pengetahuan dan kemahiran tentang teknologi maklumat, robotik dan sebagainya.Kehidupan manusia semakin banyak bergantung kepada komputer dan teknologi di era globalisasi hari ini.
  • Pembangunan sumber manusia menjelang tahun 2000 akan mencapai nisbah tenaga manusia saintifik dan teknologi yang lebih tinggi daripada sekarang iaitu kira-kira 1000 bagi setiap sejuta penduduk di Malaysia.
  • Pengetahuan dan kemahiran pula akan berorientasikan gabungan disiplin teknikal, statistik dan berasaskan komputer. Gabungan disiplin ini akan melengkapkan tenaga manusia masa hadapan untuk mengendalikan teknologi baru dan yang akan muncul seperti teknologi pembuatan berautomasi, bahan-bahan terbaru, bio-teknologi, elektronik dan teknologi maklumat.

 

Di samping itu, kegiatan institusi pendidikan dan latihan akan ditumpukan ke arah menghasilkan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan literasi komputer. Langkah kerajaan Malaysia membina Lebuh Raya Multi Media, Universiti Multi Media dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Berelektronik yang kita telah maklum sekarang adalah langkah yang bijak untuk persediaan tenaga manusia yang akan menggunakan teknologi maklumat dalam tugas-tugas harian dan juga dalam kehidupan seharian nanti di dalam era globalisasi.

 

Kebudayaan Sesebuah Negara

 

  • Kebudayaan merupakan cara hidup seharian manusia dalam sesebuah masyarakat atau organisasi. Pada zaman dahulu manusia dalam sesebuah masyarakat itu sanggup berperang kerana mempertahankan budaya hidup mereka yang dicemar atau dicerobohi oleh pihak lain. Bagaimana pun cara hidup manusia hari ini sudah banyak berubah dan menuju globalisasi.

 

Terdapat beberapa kategori kebudayaan di dunia ini yang telahpun berada dalam bentuk globalisasi :

Budaya Makan

  • Makanan Jepun sudah ada di Amerika. Makanan Amerika pula semakin popular di JepunMc Donald mempunyai 10,500 restoran di 50 buah negara di dunia Kentucky Fried Chicken mempunyai lebih daripada 7,750 restoran di 58 buah negara.

 

Budaya Fesyen

  • Antara jenis fesyen pakaian yang digemari di seluruh dunia adalah seperti : seluar Jean Levi, Pierre Cardin (pakaian perempuan), Yves Saint Laurent, pakaian sukan Esprit dan pakaian Laura Ashley.

Budaya Kerja

  • Syarikat pengeluaran di era globalasasi juga terdiri daripada berbilang kaum dari negara-negara di dunia. Umpamanya, syarikat Esprit – di mana ketua grafiknya dari Jepun, juru gambarnya dari Itali, arkiteknya dari Perancis dan Itali.

 

Budaya Muzik dan Hiburan

  • Muzik Jazz dan disco telah menguasai dunia. Tempat hiburan seperti Disneyland juga diadakan di negara di luar Amerika , seperti di Jepun dengan panggilan Tokyo Disneyland (1987) dan di Marne-la-Valle di Paris dengan panggilan Euro Disneyland (1992).

Budaya Bahasa

  • Pada masa ini, bahasa Inggeris adalah alat yang penting untuk perhubungan secara global. Sekarang terdapat satu bilion manusia yang bercakap dalam bahasa Inggeris dan pada tahun 2000 jumlah tersebut meningkat kepada 1.5 bilion.

 

Kesimpulan

Cabaran globalisasi masa kini memerlukan pembentukan generasi muda yang berdaya tahan melalui ilmu dan kemahiran Berdasarkan beberapa aspek globalisasi yang telah dibicarakan dapatlah dikatakan bahawa dunia hari ini atau di abad ke-21 sedang menghadapi satu cabaran dan perubahan yang sangat hebat yang belum pernah berlaku di abad yang lalu. Cabaran globalisasi dan implikasi terhadap ekonomi, budaya dan teknologi adalah luas dan mempunyai kesan yang negatif dan positif. Penerimaan terhadap perubahan haruslah difikirkan dan diterima secara positif dan membina untuk kemajuan diri,keluarga,agama,bangsa dan negara.

Filed under: Mesti Baca

Biodiversiti dan Peranannya


Indahnya bumi Malaysia

Biodiversiti dan Peranannya Terhadap Keseimbangan Alam Sekitar

Biodiversiti merupakan khazanah yang tidak ternilai dan menjadi warisan kepada generasi akan datang. Mendengar istilah biodiversiti mungkin ada di antara kita yang masih belum jelas mengenai takrifannya. Perkataan biodiversiti sebenarnya merupakan perkataan singkatan bagi ‘biological diversity’ ataupun kepelbagaian biologi yang mana ia didefinisikan sebagai keanekaan di antara organisma hidup daripada pelbagai sumber baik daratan mahupun samudera dan lain-lain yang melangkaui ekosistem akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks yang termasuk di dalam kelompok spesies dan antara spesies dan ekosistemnya.Biodiversiti terbahagi kepada tiga peringkat iaitu kepelbagaian genetik, kepelbagaian spesies dan kepelbagaian ekosistem.

  • Kepelbagaian genetik merupakan kepelbagaian di dalam spesies yang diukur mengikut variasi dalam gen setiap tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma. Kepelbagaian genetik berlaku dalam dan di antara populasi sesuatu spesies. Bagi kepelbagaian spesies pula ia merujuk kepada pelbagai organisma hidup di dunia. Manakala kepelbagaian ekosistem pula adalah merujuk kepada pelbagai habitat, komuniti biosis dan proses ekologi dalam persekitaran daratan, laut dan persekitaran akuatik yang lain.
  • Sebagai rakyat Malaysia kita patut berbangga kerana memiliki negara yang sangat kaya dengan biodiversitinya dan termasuk dalam lingkungan dua belas buah negara mega kepelbagaian biologi di dunia yang mana masih lagi mempunyai kekayaan biodiversiti yang dianggarkan antara 60% hingga 70% daripada jumlah biodiversiti dunia. Kepelbagaian tersebut dapat digambarkan melalui flora dan fauna yang masih wujud di negara kita pada hari ini. Didapati lebih kurang 12, 500 spesies tumbuh-tumbuhan berbunga dan lebih daripada 1,100 spesies paku pakis yang masih lagi menghuni hutan negara kita. Kebanyakan daripada spesies-spesies tersebut adalah sangat unik dan tidak ditemui di mana-mana tempat lain di dunia. Malah dari segi kepelbagaian spesies tumbuhan di Rantau Asia-Australia pula, negara kita masih lagi mengekalkan kedudukan di tempat kelima. Kalau dilihat daripada kedudukan negara kita, ia merupakan sesuatu yang sangat membanggakan kerana dalam kebimbangan negara-negara lain di dunia mengenai kepupusan habitat hutan serta sumber-sumber yang mendiaminya, namun kita masih lagi dapat mengekalkan khazanah yang sangat berharga ini.
  • Bagi spesies fauna, negara kita mempunyai kira-kira 1,500 haiwan vertebrata dan 150, 000 haiwan invertebrata. Walaupun jumlah bagi spesies tumbuhan dan haiwan vertebrata darat adalah tidak seberapa sebagaimana yang dimiliki oleh empat buah lagi negara lain di Asia Timur, namun Malaysia masih mempunyai bilangan yang terbanyak dari segi jumlah spesies per kilometer persegi. Kita patut bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana masih lagi mempunyai kekayaan biodiversiti yang tidak ternilai yang menjadi sumber rezeki untuk keperluan kehidupan seharian kita. Malah rezeki yang Allah S.W.T. kurniakan kepada kita tidak terhitung banyaknya dan tidak pernah putus. Justeru, kita sebagai khalifah di bumi ini patut menghargai dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.
  • Dalam Al-Quran ada menyebut bahawa Allah S.W.T. menjanjikan rezeki kepada setiap makhluk-Nya yang dilahirkan ke dunia ini seperti yang terkandung di dalam Surah Sabaa, Ayat 39 yang bermaksud “Katakanlah sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di kalangan hamba-hamba-Nya dan Dia menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang siapa sahaja yang kamu nafkahkan (belanjakan), maka Allah S.W.T. akan menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki”. Justeru, dalam konteks ini, biodiversiti merupakan sebahagian daripada rezeki anugerah Ilahi kepada kita di muka bumi ini. Oleh yang demikian, sebagai khalifah Allah, manusia diamanahkan untuk menguruskan rezeki kurniaan-Nya dengan penuh kebijaksanaan baik di daratan, lautan mahupun di angkasa.
  • Biodiversiti yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada kita merupakan nikmat yang sangat besar dalam kehidupan kita. Ia memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekalkan keseimbangan alam sekitar kita. Bagaimanakah biodiversiti dikatakan membantu dalam proses keseimbangan alam sekitar? Jika kita amati, biodiversiti merangkumi satu spesies atau kombinasi spesies dan kekayaan; interaksi spesies, interaksi antara organisma dan komponen bukan hidup dalam persekitaran; tingkah laku; sejarah hidup dan kepelbagaian fisiologi; kepelbagaian fizikal habitat yang terdiri daripada pelbagai biologi semua habitat atau ekosistem yang berbeza di sesuatu kawasan. Dengan mengekalkan kekompleksan dalam ekosistem ini, ia akan menyumbang kepada keseimbangan alam sekitar yang sekaligus akan turut menjamin khidmat ekologi yang bernilai kepada manusia.
  • Setiap kejadian yang Allah S.W.T. ciptakan di atas muka bumi ini mempunyai alasan tersendiri. Sebagai contoh, spesies reptilia terutamanya ular mempunyai peranan tersendiri dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem, dan penciptaannya bukan sekadar untuk menghuni alam tanpa sebarang sebab. Malah ia diperlukan dalam kehidupan manusia terutama dalam bidang pertanian padi yakni berperanan mengawal tanaman daripada serangan tikus dan serangan perosak yang lain. Bayangkan jika spesies reptilia ini pupus, pastinya manusia akan berdepan pelbagai masalah khususnya bagi mengawal pertanian daripada serangan perosak. Didapati kira-kira 99% potensi serangga perosak tanaman adalah dikawal oleh pelbagai jenis organisma merangkumi serangga, burung dan fungi (kulat) selain spesies reptilia yang disebutkan di atas.
  • Biodiversiti juga penting dalam pendebungaan dan pengeluaran hasil tanaman. Bagi kebanyakan tumbuh-tumbuhan berbunga, pembiakannya bergantung kepada beberapa spesies haiwan seperti lebah, rama-rama, kelawar dan sebagainya dalam membantunya membiak melalui pengangkutan debunga. Malah lebih daripada satu per tiga hasil tanaman makanan manusia sejagat adalah bergantung kepada pendebungaan semulajadi ini. Selain itu, kebanyakan spesies haiwan yang mendiami hutan kita juga turut memainkan peranan penting menjalankan fungsi tambahan dalam pembiakan tumbuhan melalui penyebaran biji benih. Di sini sangat jelas menggambarkan peri pentingnya peranan spesies fauna dalam mengekalkan keseimbanagn alam sekitar secara semulajadi.
  • Selain bertindak sebagai agen pendebungaan dan penyebaran biji benih, biodiversiti juga memainkan peranan penting dalam menstabilkan iklim. Di mana tisu tumbuhan dan bahan organik lain dalam lingkungan ekosistem daratan dan laut bertindak sebagai gedung kepada karbon yang membantu memperlahankan pembangunan karbon dioksida dalam atmosfera dan ia secara automatik membantu menyumbang kepada kestabilan iklim. Ekosistem juga turut mempengaruhi keupayaan langsung ke atas bentuk cuaca persekitaran. Sebagai contoh, lembapan yang dibebaskan ke atmosfera melalui hutan hujan menyebabkan hujan ribut malar dan akan menghadkan kadar kehilangan air daripada sesuatu kawasan dan membantu mengawal suhu permukaan. Sementara itu, dalam iklim sejuk ekosistem hutan bertindak sebagai penebat dan tampan angin bagi membantu mengurangkan kesan suhu dingin.
  • Biodiversiti bukan sahaja penting dalam proses menstabilkan iklim, malah ia juga memainkan peranan penting dalam mencegah dan mengurangkan kesan bencana alam. Hutan dan padang rumput misalnya sangat membantu dalam melindungi landskap daripada hakisan, kehilangan nutrien dan tanah runtuh melalui tindakan cengkaman akar. Bagi sesetengah ekosistem pantai seperti paya masin, paya bakau dan sebagainya sangat membantu dalam menghalang berlakunya hakisan pinggir pantai dan mengurangkan kesan bencana alam seperti tsunami.
  • Selain itu, biodiversiti juga memainkan peranan penting dalam penjanaan tanah dan pengekalan kualiti tanah. Fenomena ini berlaku melaui aktiviti mikrobiologi oleh spesies-spesies organisma seperti bakteria, alga, fungi, hama, mentibang dan cacing yang mana sangat penting dalam proses penghuraian tanah kepada bahan organik dan membebaskan nutrien penting yang diperlukan oleh tumbuhan untuk hidup. Proses tersebut memainkan peranan mustahak dalam kitaran elemen seperti nitrogen, karbon dan fosforus antara organisma hidup dan bukan hidup dalam biosfera.
  • Selain penting dalam proses penjanaan tanah, ia turut memainkan peranan dalam mengekalkan kualiti udara. Spesies tumbuhan bertindak membersih udara dan mengawal kandungan atmosfera, mengitar semula keperluan oksigen dan menapis partikel-partikel berbahaya yang terhasil daripada aktiviti-aktiviti industri.
  • Bukan itu sahaja, malah biodiversiti juga penting dalam mengekalkan kualiti air. Ekosistem tanah lembap(kawasan paya) misalnya membantu menyerap dan mengitar semula nutrien-nutrien penting, merawat kumbahan dan membersihkan sisa tanah. Di dalam sistem muara pula, moluska (binatang berbadan lembut dan bercangkerang) membantu menyingkirkan nutrien daripada air bagi menghalang pengayaan melampau nutrien dan mengelakkan kehadiraan masalah seperti terjadinya eutrofikasi (proses peningkatan laju input bahan organik ke muara atau secara umumnya adalah proses penyuburan perairan secara berlebihan disebabkan oleh kemasukan bahan organik) daripada proses penyalinan baja. Pokok-pokok dan tanah hutan pula bertindak membersih air yang mengalir melalui ekosistem hutan. Dalam proses menghalang tanah daripada dihanyutkan, ekosistem hutan juga berperanan membantu menghalang pemendapan kelodak berbahaya ke sungai dan empangan yang wujud daripada hakisan dan tanah runtuh.

Begitulah besarnya peranan biodiversiti dalam mengekalkan keseimbangan alam sekitar kita. Justeru itu, kewujudan biodiversiti jangka panjang adalah sangat perlu bagi memastikan keseimbangan dan kelestarian alam sekitar kita terus terpelihara. Kesedaran masyarakat mengenai peri pentingnya biodiversiti kepada pembangunan umah dan negara perlulah dipupuk dari masa ke semasa agar keselamatan biodiversiti kita terus terjamin. Selain itu, penambahbaikan ke atas pengurusan biodiversiti secara lestari perlu dilakukan bagi menjamin pengekalan khazanah tersebut untuk turut dinikmati oleh generasi akan datang. Oleh yang demikian, kita perlu mewujudkan satu garis panduan yang dapat melahirkan satu interaksi sihat antara manusia, biodiversiti dan alam sekitar yang didiami agar khazanah yang sangat berharga ini akan terus terpelihara.

 

Filed under: Mesti Baca

Nota Sejarah Penggal 1,2 dan 3 :

Hits Sejak Sept. 2008

  • 6,954,565 pengunjung

Kalendar 2016

May 2011
M T W T F S S
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031