Weblog Cikgu Jumali

Khusus Untuk Pelajar yang Mengambil Mata Pelajaran Sejarah STPM (940)…

Ciri-ciri Masyarakat Agraria Di China


Huraikan ciri-ciri masyarakat agraria di China

Pengenalan :

  • Masyarakat agraria merupakan masyarakat yang menjalankan kegiatan ekonomi berasaskan kepada pertanian iaitu bercucuk tanam dan menternak binatang. Jenis-jenis tanaman utama ialah padi sawah, padi huma, ubi taro, dan keladi; tanaman bijirin pula ialah gandum, barli, oat, kubis, kekacang dan sebagainya. Selain itu, masyarakat juga menjalankan aktiviti berburu, mengutip hasil hutan dan menangkap ikan pada peringkat awal. Penempatan mereka terbentuk di sekitar kawasan yang subur seperti lembah-lembah sungai, kawasan berbukit, serta kawasan yang mempunyai sistem saliran yang baik. Mereka juga mempunyai kemahiran menghasilkan makanan sendiri dengan pertanian pindah sehingga mengusahakan pertanian tetap. Pada masa yang sama masyarakat agraria mempunyai hubungan dengan masyarakat maritim dan saling bergantungan.Masyarakat agraria di China menjalankan kegiatannnya atas arahan golongan pembesar.

Isi-isi :

Ciri-ciri Masyarakat Agraria Di China :

  • Negara China mempunyai keluasan hampir 9.6 juta km persegi tetapi tanah yang sesuai untuk kegiatan pertanian hanyalah 15% sahaja. Kawasan lain terdiri daripada pergunungan dan gurun di sebelah barat dan utara China. Negara China juga sebahagian besarnya berada dalam kawasan hawa sederhana mengalami perubahan iklim dari kawasan tropika ke kawasan sejuk. Walaupun berkeadaan demikian, negara China masih lagi mampu mengeluarkan makanan daripada perlbagai jenis tanaman untuk kegunaan masyarakat dan untuk dieksport ke negara luar.
  • Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming dan Qing, negara China masih dipanggil masyarakat agraria iaitu meliputi 85% daripada keseluruhan penduduk dan tinggal di desa. Masyarakat agraria China tertumpu di kawasan timur laut China dengan Mongolia. Kawasan ini mempunyai dataran loes yang subur disepanjang Sungai Kuning. Di sebelah selatan pula terdapat pula Sungai Yangtze (sungai terbesar di China) yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat agraria di China.
  • Tanah di negara China semua dimiliki oleh maharaja dan dikurniakan kepada golongan bangsawan atau pembesar (tuan tanah). Tanah merupakan satu aset yang amat berharga yang dapat menentukan status sosial seseorang itu. Tuan-tuan tanah ini akan memberikan kepada golongan rakyat masyarakat agraria untuk diusahakan.
  • Tanah ini akan diusahakan dari satu generasi ke satu generasi secara bersama dan tidak mengutamakan hak individu. Masyarakat agraria China mengusahakan tanah pertanian secara tradisional dengan menggunakan peralatan lama dan najis binatang untuk menyuburkan tanah. Namum, hasil yang diperolehi masih cukup untuk menampung keperluan harian mereka tetapi tidak dapat menyimpan.
  • Walaupun negara China mempunyai tanah yang subur dan masyarakat agrarianya cekap bercucuk tanam, namum mereka masih hidup dibelenggu dengan kemiskinan.
  • Tanaman utama yang diusahakan oleh masyarakat agraria di China ialah padi sawah yang banyak ditanam di kawasan lembah Sungai Yangtze dan Sungai Kuning. Tanaman lain turut diusahakan seperti menanam kapas, tebu, teh, gandum, barli, sekoi dan bijirin lain. Masyarakat China yang tinggal di tanah tinggi Utara China, mereka menanam padi huma, sekoi dan kekacang terutama di sekitar Sungai Heilongjiang.
  • Masyarakat agraria China mula mengalami perubahan di zaman Dinasti Ming apabila wujudnya hubungan luar dengan negara-negara luar seperti selatan India, Sri Lanka, Hormuz, dan persisir pantai timur Afrika. Hubungan ini telah meningkatkan aktiviti perdagangan China dengan pedagang-pedagang dari luar terutama di pelabuhan Canton.

  • Kedatangan pedagang luar ini telah menyebabkan negara China menerima pelbagai aspek dari tamadun luar. Perkara ini secara langsung telah membawa banyak perubahan dalam bidang pertanian dan ini akan meningkatkan lagi ekonomi negara China. Seterusnya, membolehkan negara China menikmati kemakmuran dan kekayaan dalam pertambahan penduduk dan bidang pertanian.
  • Semasa pemerintahan Dinasti Ming, China telah berusaha untuk meningkatkan hasil pertanian mereka dengan memperkenalkan sistem pengairan, mengamalkan tanaman giliran mengikut musim, memperkenalkan peralatan pertanian yang baru, meningkatkan keluasan kawasan pertanian dan penggunaan baja.
  • Penanaman padi jenis baru telah diperkenalkan dari selatan Vietnam yang boleh ditanam dua kali setahun dan tidak memerlukan air yang banyak. Ini telah memboleh padi ini di tanam di kawan tanah tinggi yang kekurangan air. Tanaman baru yang lain turut diperkenalkan seperti tanaman kekacang, ubi kentang manis, barli dan jagung yang dibawa dari Asia Barat. Tanaman baru ini telah meningkatkan lagi hasil pengeluaran pertanian masyarakat agraria.
  • Masyarakat agraria China mengamal pengkhususan dalam pengeluaran barangan mengikut daerah atau kawasan seperti tebu dikeluarkan di daerah Kwangtung, Fukien dan Szechwan; teh dan daun mulberry untuk makanan ulat sutera di Chekiang dan selatan Kingsu; kapas di Kinagsu dan daerah utara; perlombongan di Yunnan; perusahaan kain kapas, kain sutera, dan pakaian diusahakan oleh petani di Kiangnan, dan hasil hutan (kayu balak) di Manchuria.
  • Seterusnya negara China semakin berkembang ekonominya terutama dalam pembuatan porselin, pembuatan kertas, sutera dan kapas di bandar Nanjing dan Beijing. Industri porselin memberi sumbangan dalam pendapatan negara China dan bandar Kiangsi muncul sebagai pusat pengeluran porselin utama. Soochow pula sebagai bandar pusat industri tekstil dan Sungkiang menjadi pusat pengeluran kain kapas. Tanaman kapas menjadi tanaman penting di zaman Dinasti Ming. Industri kraf tangan dan tenunan turut menyumbang kepada ekonomi masyarakat agraria di China.
  • Semasa pemerintahan Dinasti Ching (1644-1911), kerajaan China hanya membiarkan ekonomi berada di tangan golongan bangsawan. Golongan ini hanya mengawasi sistem pao-chia (tanggungjawab kolektif) untuk mengawal kaum petani. Manakala di zaman Kang-hsi, ekonomi China berlaku pemulihan dan hasil pengeluaran pertanian bertambah. Sebagai contoh pada tahun 1661, kawasan pertanian seluas 549 juta ekar (mu) meningkat kepada 724 juta ekar (mu) pada tahun 1725 dan 781 ekar pada tahun 1766.
  • Masyarakat agraria China juga turut menjalankan kegiatan perusahaan pertukangan secara perkongsian modal dan tanggungjawab untuk memajukan perusahaan ini. Mereka akan bergabung mengikut wilayah menjadi satu kesatuan peniaga yang akan disertai oleh kesatuan peniaga, kesatuan penenun, kesatuan peniaga bank, kesatuan peniaga pakaian, dan kesatuan peniaga emas. Persatuan berperanan sebagai badan yang akan mengawal harga barangan, menatapkan nilai barangan, dan menyelesaikan segala masalah atau pertikaian antara ahli-ahli persatuan.
  • Masyarakat agraria China turut menjalankan ekonomi perdagangan walaupun kegiatan ini dianggap hina dan rendah tarafnya di negara China. Namum kegiatan ini sebenarnya memberi pulangan yang cukup besar kepada negara dan masyarakatnya.

Kesimpulan :

Aktiviti perdagangan berkembang dengan baik kerana adanya sistem pengangkutan yang baik iaitu sungai sebagai jalan perhubungan yang utama seperti Sungai Yangtze, Sungai Peiho dan Sungai Kuning. Manakala terusan turut dibina untuk merancakkan lagi aktiviti perdagangan seperti Terusan Besar (menganjur dari Peking ke Hangchow di selatan Sungai Yangtze) dan terusan-terusan kecil di bahagian tengah dan selatan China. Sistem perhubungan darat masih primitif iaitu masyarakat masih menggunakan unta dan keldai sebagai pengangkutan utamanya.

Leave a comment

Pages

Hits Sejak Sept. 2008

  • 6,953,641 pengunjung

Kalendar 2016

April 2024
M T W T F S S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930