Weblog Cikgu Jumali

Khusus Untuk Pelajar yang Mengambil Mata Pelajaran Sejarah STPM (940)…

Bandingan Masyarakat Feudal England & Jepun


Bandingkan masyarakat Feudal England dan Jepun pada abad ke-16 dan 17 ?

Pengenalan :

Sistem feudal ditakrifkan sebagai sebuah kerajaan tempatan yang ditadbir oleh individu tertentu dan bukan wakil kerajaan pusat. Dalam sistem feudal, kedudukan seseorang individu adalah mengikut sistem kelas bersusun lapis mengikut hierarki. Negara Jepun dan England mengamalkan sistem feudal pada abad ke 16 dan 17 . Pemerintah Jepun pada abad ke 17 berada di bawah kekuasaan Keshogunan Tokugawa. Di England pula berada di bawah pemerintahan monarki baru. Amalan sistem feudal di kedua-dua pemerintahan ini mempunyai keunikan tersendiri.

Isi-isi :

  • Dalam susun lapis masyarakat feudal di England dan Jepun pada abad ke 17, raja mempunyai kedudukan yang tertinggi. Raja pada masa itu sangat dihormati dan merupakan lambang perpaduan. Raja juga sering dikaitkan dengan agama dan kepercayaan. . Raja England merupakan ketua gereja Kristian. Manakala Maharaja Jepun merupakan Tuhan Matahari. Malahan pada masa itu, Raja England merupakan pemerintah berkuasa mutlak. Sebaliknya Maharaja Jepun hanya memerintah dari segi teori sahaja. Ini kerana Maharaja Jepun telah menyerahkan tanggungjawab memerintah kepada Shogun sejak tahun 1192. Menjelang abad ke- 17, Shogun Tokugawa memerintah Jepun bagi pihak Maharaja. Maharaja tinggal terpencil dan terpisah di Kyoto dengan dikelilingi oleh pegawai istana.
  • Kedua-dua sistem feudal ini mempunyai golongan pembesar. Golongan bangsawan di England dikenali sebagai Lord . Di negara Jepun, pembesar dikenali sebagai daimyo. Kedudukan bangsawan di England terbahagi kepada beberapa lapisan seperti bangsawan kelas pertama, bangsawan kelas kedua dan bangsawan kelas ketiga. Pembahagian berkaitan dengan keluasan tanah yang dimiliki.
    Manakala di Negara Jepun terdapat seorang ketua daimyo yang dikenali sebagai Shogun. Daimyo-daimyo pula dibahagi kepada 3 golongan iaitu Daimyo Fudai, Daimyo Shimpan dan Daimyo Tozama. Daimyo Fudai merupakan ahli keluarga Tokugawa dan sekutunya. Mereka membantu Tokugawa menguasai pemerintahan dan dikurniakan tanah di bahagian tengah dan utara Honshu. Daimyo Shimpan dikenali sebagai rumah bersaudara yang terdiri daripada saudara-mara keluarga Tokugawa. Daimyo Tuzama pula dikenali sebagai daimyo luar di mana mereka merupakan musuh Shogun Tokugawa yang terdiri daripada suku-suku Barat. Mereka juga dilarang mengumpul kekayaan demi mengelakkan mereka menjadi terlalu kuat dan mengancam kedudukan Shogun. Oleh itu sistem pembesar feudal di Jepun sangat berbeza dengan sistem pembesar feudal di England.
  • Di Negara Jepun, daimyo memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam bidang pentadbiran. Golongan daimyo menguasai dan mentadbir daerah-daerah yang diberikan oleh Shogun kepada mereka. Manakala kedudukan bangsawan di England mengalami kemerosotan dengan kemunculan monarki baru. Raja monarki baru mampu mengawal golongan bangsawan. Ini kerana mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada ketenteraan yang dibekalkan bangsawan kerana raja mempunyai tentera upahan. Namun begitu Raja masih lagi memerlukan sokongan golongan bangsawan . Raja telah memberi gelaran-gelaran kepada golongan bangsawan seperti Lord , Earl dan Duke justeru k esetiaan bangsawan terhadap raja dapat dikekalkan. Di Jepun pula, Shogun telah member tanah kepada daimyo untuk mendapatkan sokongan dan kesetiaan.
  • Kedua-dua sistem feudal ini mempunyai golongan ketenteraan. Di England golongan tentera dikenali sebagai Knight. Di Jepun golongan tentera dikenali sebagai Samurai. Knight dan Samurai ini berkhidmat kepada pembesar. Golongan Knight di England mempunyai hak untuk mengutip cukai daripada penduduk di bawah penguasaan mereka. Sebaliknya golongan samurai Jepun tidak mempunyai tanah. Oleh itu, kekayaan golongan Knight diukur berdasarkan jumlah tanah yang dimiliki tetapi kekayaan golongan samurai diukur berdasarkan jumlah beras yang dimiliki. Satu lagi perbezaan antara Knight dan Samurai ialah golongan Knight di England adalah buta huruf dan hanya menawarkan perkhidmatan mereka dalam bidang ketenteraan. Sebaliknya golongan Samurai merupakan golongan yang paling berpendidikan dalam sistem feudal. Pemilikan ilmu dianggap perkara mulia dalam kalangan pahlawadi Jepun. Semasa zaman keamanan Tokugawa, samurai melibatkan diri dalam aktiviti kesenian seperti tarian Kabuki.
  • Masyarakat petani merupakan golongan yang penting dalam sistem feudal di Jepun dan England. Di England golongan petani dikenali sebagai Freeman dan Villein, manakala golongan petani Jepun dikenali sebagai nomin. Di England golongan petani tidak mempunyai tanah dan hanya mengusahakan tanah milik tuan tanah. Sebagai balasannya , tuan tanah akan memberi mereka perlindungan dan jaminan keselamatan. Sebaliknya petani di Jepun mempunyai kedudukan yang tertinggi dalam kalangan rakyat jelata. Mereka memiliki tanah sendiri . Golongan petani akan membayar sewa kepada tuan tanah dengan menyerahkan sebahagian daripada hasil pertanian. Di samping itu, petani juga diperlukan untuk menawarkan khidmat buruh kepada tuan tanah. Manakala petani di Jepun terpaksa membayar cukai yang tinggi. Kebiasaannya petani Jepun menyerahkan 50% daripada hasil keluaran sebagai cukai tahunan kepada daimyo. Petani juga memberi beras kepada Samurai untuk mendapat jaminan keselamatan.

Kesimpulan :

Berdasarkan perbincangan di atas, terdapat perbezaan dan pesamaan dalam system feudal yang menjadi amalan di Jepun dan England. Keduan-dua sistem feudal mempunyai keunikan masing-masing.

 

2 Responses

  1. suzianik lai says:

    thankz kongsi maklumat…

  2. Yong Arifah says:

    Thank you 🙂

Leave a comment

Pages

Hits Sejak Sept. 2008

  • 6,953,637 pengunjung

Kalendar 2016

April 2024
M T W T F S S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930