Weblog Cikgu Jumali

Khusus Untuk Pelajar yang Mengambil Mata Pelajaran Sejarah STPM (940)…

Wasiat Rasulullah s.a.w kepada Saidina Ali


Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, “Rasulullah saw berwasiat kepadaku dengan sabda Baginda” :

  • “Ya Ali! Tidak ada kefakiran yang lebih hebat daripada kebodohan. Tidak ada harta yang lebih berharga daripada aqal. Tidak ada kesepian yang lebih sunyi daripada ujub (rasa kagum pada diri sendiri). Tidak ada kekuatan yang lebih hebat daripada musyawarah. Tidak ada wara’ yang lebih baik daripada menahan diri. Tidak ada keindahan selain akhlak dan tidak ada ibadah yang melebihi tafakur.”
  • “Ya Ali! Segala sesuatu itu ada penyakitnya. Penyakit berkata-kata adalah bohong. Penyakit ilmu adalah lupa. Penyakit ibadah adalah riak. Penyakit akhlak adalah memuji diri sendiri. Penyakit pemurah adalah menyebut-nyebut pemberian. Penyakit bangsawan adalah merasa bangga. Penyakit malu adalah lemah. Penyakit mulia adalah menonjolkan diri. Penyakit kaya adalah kikir dan berlebih-lebihan, dan penyakit agama adalah hawa nafsu.”
  • “Ya Ali! Perbanyakkanlah membaca Surah Yassin, kerana dalam membacanya itu terdapat sepuluh macam keberkatan. Tidak ada orang yang membacanya waktu lapar atau puasa melainkan kenyang. Haus kecuali hilang hausnya. Tidak memiliki pakaian melainkan ia akan memperolehi pakaian. Merasa takut kecuali datang rasa aman. Di penjarakan melainkan ia akan keluar dari penjara. Bujang melainkan ia akan berkahwin. Sewaktu musafir matanya menjadi terang dalam perjalanan. Tidak membacanya orang yang kehilangan sesuatu benda melainkan mendapatkannya kembali. Tidak dibacakan ia ke atas orang yang akan hampir ajalnya melainkan diringankan baginya. Barangsiapa yang membacanya di waktu subuh nescaya ia akan aman sehingga petang, dan barangsiapa yang membacanya di waktu petang nescaya ia akan berada di dalam keadaan aman sehinggalah waktu pagi.”
  • “Ya Ali! Bacalah Surah Hammim Ad-Dukhaan pada malam Jumaat, nescaya Tuhan memberikan keampunan kepadamu.”
  • “Ya Ali! Bacalah Surah Hasyar nescaya engkau berkumpul pada hari kiamat dalam keadaan aman dari segala sesuatu.”
  • “Ya Ali! Bacalah Surah Tabaraka dan As-Sajadah nescaya berkat keduanya engkau diselamatkan Tuhan daripada bahaya hari kiamat.”
  • “Ya Ali! Bacalah Qulhuwallahu Ahad dalam keadaan engkau berwudhuk, nescaya engkau akan di seru pada hari kiamat; Hai pemuji Tuhan! Bangkitlah, maka kemudian masuklah ke dalam syurga!”
  • “Ya Ali! Bacalah Surah Al-Baqarah, kerana sesungguhnya dalam membacanya itu ada membawa keberkatan, dan tidak mahu membacanya membawa penyesalan.
  • “Ya Ali! Janganlah engkau bersetubuh dengan isterimu pada malam bulan sabit baru muncul, dan jangan pula pada pertengahan bulan, kerana di khuatirkan anakmu akan cacat.”
  • Aku (Ali) bertanya: Kenapa demikian ya Rasulullah? Jawap Baginda: “Kerana Jin banyak mendatangi wanita-wanita pada malam tengah bulan dan pada malam Hilal (bulan sabit). Apakah engkau tidak perhatikan bahawa orang-orang gila itu boleh muncul penyakitnya kembali pada malam tengah bulan dan malam Hilal itu?
  • “Ya Ali! Jauhilah sengketa, kerana ia akan menghapuskan amalan-amalan engkau.”
  • “Ya Ali! Segeralah bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkah mendahului sedekah.”
  • “Ya Ali! Jauhilah kemarahan, kerana syaitan menguasai anak cucu Adam dalam keadaan ia marah.”
  • “Ya Ali! Jauhilah olok-olok, kerana hal itu akan menghilangkan kehebatan anak cucu Adam dan kesungguhannya.”
  • ” Ya Ali! Jauhilah riba, kerana padanya terdapat enam perkara, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga di dunia;Ia akan cepat memusnahkan harta, ia akan melenyapkan kekayaan, ia akan menghapuskan rezeki. Adapun yang tiga di akhirat, ia akan membawa buruk perhitungan (hisab), ia akan membawa kemurkaan Allah swt. dan kekal di dalam neraka.”
  • “Ya Ali! Cintailah fakir miskin, nescaya Allah akan cinta pula kepadamu.”
  • “Ya Ali! Janganlah engkau bentak fakir miskin, nescaya engkau akan di bentak pula oleh Malaikat pada hari kiamat.”
  • “Ya Ali! Janganlah engkau abaikan sedekah, kerana ia akan menolak kejahatan dari dirimu.”
  • “Ya Ali! Keluarkan infak hartamu dan berikan kelapangan kepada keluargamu, dan janganlah khuatir terhadap Tuhan yang memiliki Arasy bahawa Ia akan menyediakan kurnia-Nya terhadapmu.”
  • “Ya Ali! Janganlah berdusta, kerana dusta itu menghitamkan muka. Bila seseorang sentiasa berdusta, dia akan dinamakan disisi Tuhan “si pendusta”, dan bila dia benar maka akan dinamakan disisi Tuhan sebagai orang yang “benar” (siddiq). Sesungguhnya berdusta itu akan menjauhkan Iman.
  • “Ya Ali! Kuasailah lisanmu dan biasakanlah bicara yang baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat melebihi ketajaman lisannya.”
  • “Ya Ali! Jauhilah sifat dengki, kerana dengki itu memakan segala kebajikan sebagaimana api memakan kayu bakar”.

( Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan An-Nasa’i )

Filed under: Mesti Baca

Sambutan Maulidur-Rasul 1433H SMKST


Perarakan Maulidur-Rasul 1433H SMKST

11 Februari 2012, Sambutan Maulidur-Rasul 1433H peringkat sekolah disambut hari ini dengan penuh meriah. Sambutan dimulakan dengan Perarakan Maulidur-Rasul dan untuk acara di Dewan Seri pula, diadakan ceramah Maulidur-Raul dan Kelab Pencinta Filem (Finas), Program Persediaan Universiti, mengadakan persembahan pentomen, deklamasi sajak dan juga persembahahan nasyid. Tahniah kepada kelab Pencinta Filem kerana berjaya menambat hati para pelajar dan guru dengan persembahan yang dramatik dan bertenaga…

Filed under: Mesti Baca

Terkini : Sistem Modular STPM Bermula Sesi 2012/2013


Bermula pengambilan PPU Tahun 1 sesi 2012/2013; Sistem Baharu STPM iaitu Sistem Modular akan diperkenalkan. Majlis Jemaah Menteri (MJM) telah meluluskan pelaksanaan ini pada 4 Januari 2012.

Pelajar PPU Tahun 1 2012 merupakan kohot pertama sistem pentaksiran baharu STPM yang akan menduduki peperiksaan penggal 1 persekolahan PPU pada November 2012 dan juga buat pertama kalinya akan melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Makluman berhubung dengan aspek kandungan pengajian, sistem pentaksiran baharu STPM dibahagikan kepada tiga bahagian kurikulum berdasarkan kelompok tajuk atau mengikut kesesuaian bidang disiplin berkenaan untuk mengisi tiga penggal iaitu Penggal 1, Penggal 2 dan Penggal 3 dalam tempoh pengajian selama satu tahun setengah.

Silibus baru Subjek Sejarah STPM, 940 SP Sejarah ( Sila download)

Filed under: Mesti Baca

Sedikit Renungan Pada Hari Lahir Rasul S.A.W.


Umat Islam sedang bersedia menyambut hari lahir Nabi Muhammad S.A.W. ke sekian kalinya. Dan di akhir zaman ini berbagai bentuk sambutan diadakan bagi meraikan Maulidur Rasul. Majlis yang biasa kita adakan iala seperti jamuan, tahlil, selawat, berzanji, majlis amal, perarakan dan sebagainya yang munasabah kita lakukan. Okeylah… semua majlis ini baik dan kita bersangka baik juga meminta petunjuk dari Allah agar segala apa yang kita kerjakan menjadi satu kebajikan belaka.

Sebenarnya pengertian Maulidur Rasul ini tidak hanya setakat itu. Bukan dek kerana semua majlis itu, boleh menunjukkan kecintaan kita pada Rasul S.A.W. yang kita imani. Pengertian yang sebenar dan lebih berbentuk realiti bukan sekadar majlis Maulidur Rasul bersifat pesta dan terpesong serta kosong. Bahkan ia mestilah selari dengan apa yang menjadi budaya dalam kehidupan seharian. Contohnya begini; saban hari umat kita tidak mengingati Nabi dalam kehidupannya. Solat tidak, puasa ponteng, hati dengki, tangan dan mulut melukakan orang, hati yang dengki, sombong, mengejar kemewahan secara negatif, pakaian yang tidak menepati ciri sebagai orang Islam dan sebagainya. Tiba-tiba muncul hari sambutan kelahiran Nabi diadakan perarakan dan majlis-majlis seolah-olah mengingati Nabi S.A.W. dan Ajarannya secara bermusim. Itupun Alhamdulillah kalau dibuat atau ambil bahagian. Lebih malang lagi kalau musim ini pun kita tidak mengingati Nabi S.A.W.

Tidak salah mengingati Nabi S.A.W. bahkan kita mendapat pahala kerana membuat peringatan tentang Nabi S.A.W. Namun sambutan dan pesta memperingati Rasul S.A.W. biarlah hanya suatu sampingan kepada ingatan kuat dan kecintaan sungguh kita padanya di seluruh musim, tidak kira apa musim pun. Musim bola ke, musim tengah orang duk sibuk puja artis ke, musim orang tengah gila memberontak ke, apa musim sekalipun kita tetap ingat dengan ingatan tulus ikhlas pada Nabi S.A.W. Yang ini baru boleh kita iktiraf sebagai sambutan yang bagus. Sambutan yang lahir dari hati dan perasaan yang mendalam dan bukan hanya sekadar kulit luar semata-mata.

Kita sebagai umat Nabi S.A.W. disyariatkan untuk mencintai Nabi lebih dari mencintai diri sendiri. Sabdanya, “tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia lebih mengasihi aku dari dirinya sendiri”. Ukuran kita mencintai Rasul S.A.W. ialah dengan ukuran pada kepentingan diri sendiri. Betapa kita mementingkan diri sendiri sekalipun, adalah mementingkan Rasul S.A.W. lebih baik dan dikira beriman. Mementingkan Rasul S.A.W. di sini ialah dalam erti kata mentaatinya dan mengerjakan segala syariatnya. “sesiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang derhaka padaku nescaaya dia menderhakai Allah,” sabda Rasul S.A.W.

Maka, di mana kita sekarang, yang sedang dalam gelombang arus yang mencabar akidah dan pegangan… masih mampukah kita bergantungan dengan role model yang telah digarapkan? Atau telah hanyut ditelan badai berbisa arus kehambaran moral dan etika. Usah bicara tentang agama, cukup hanya moral dan etika yang kita ungkitkan. Di manakah moral dan etika orang kita? Adakah moral dan etika orang kita baik? Baik dalam maksud baik untuk semua-diri sendiri, masyarakat, agama, bangsa, Negara… atau moral kita sekarang sudah lari dari bentuk yang kita inginkan??? Sehingga timbul banyak masalah dan gejala seperti yang terangnya kini; bunuh, rompak, rogol, samun, zina, masalah sosial yang berbagai dan tidak kesudahan. Adakah semua ini relevan jika dikaitkan dengan pesta menyambut kelahiran Nabi S.A.W. yang kita cintai dan imani. Seolah-olah pesta dan majlis yang diadakan itu tidak mungkin dan tiada ruang lagi dalam hidup kita mengingkari syariatnya yang tegasnya menyatakan bahawa membunuh itu haram, merompak itu haram, zina itu haram… sekali gus segera berbuat kebajikan dengan penuh ikhlas.

Apakah kita terlepas pandang akan punca segala itu? Atau kita hanya sekadar senyum si bisu. Tahu akan hakikat punca dan masalahnya namun bisu berbicara. Hanya sekadar senyum membantah atau membantah dalam senyum. Apa makna ini? Inilah hakikat sebuah kehidupan kita yang hidup segan nak ikut Nabi, mati tak mahu dalam kafir.

Sumber : Blog

Filed under: Mesti Baca

Nota Sejarah Penggal 1,2 dan 3 :

Hits Sejak Sept. 2008

  • 6,954,663 pengunjung

Kalendar 2016

February 2012
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
272829